Sunday, April 25, 2010

gejala rasuah..semakin membimbangkan

Salam .

Pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia boleh berbangga dengan kedudukan ditangga ke 25 didalam Ukuran Indeks Rasuah oleh Transparency International. 

Tetapi sekarang, kedudukan Malaysia telah jatuh ditempat ke 57 dunia iaitu sebaris dengan Thailand, Vietnam dan juga Indonesia.

Ini menunjukkan bahawa amalan rasuah Malaysia bertambah teruk dan memalukan jika dilihat negara ini di atas kapasiti sebagai sebuah negara Islam. Bukankah Islam itu sendiri menentang amalan rasuah didalam kebanyakan ayat Quran dan hadis rasulullah SAW.
Malangnya, negara-negara bukan Islam pula menduduki ranking yang lebih baik didalam Ukuran Indeks Rasuah ini. Mereka jauh mendahului negara-negara Islam. Apakah kurang kesedaran tentang hukum agama menjadi punca negara Islam dibelenggu masalah rasuah?

Saya merasakan, semua pihak harus memandang berat tentang amalan rasuah yang semakin berleluasa. Ajaran Islam meletakkan pemberi dan penerima rasuah tempatnya adalah didalam neraka. Apakah kita sebagai umat Islam mahukan neraka menjadi tempat persinggahan kekal selepas mati?

Revolusi menyeluruh perlu dilakukan bagi semua rakyat dan juga pemimpin didalam membenteras pengamalan rasuah dinegara ini. Itu yang saya nampak perlu dilakukan.

Apa yang menariknya ketika ini, pelbagai istilah digunapakai bagi menggantikan perkataan rasuah itu sendiri bagi menghalalkannya. Ada yang menggunakan istilah "hadiah", "saguhati", "sedekah" dan juga ada yang cuba mengaburi mata masyarakat dengan pemberian tajaan.

Namun, semua istilah-istilah tersebut adalah berkisarkan perkara yang sama iaitu rasuah. Tak kiralah sama ada pemberian sebiji kek pun jika ianyanya mempunyai kepentingan kepada si pemberi, ia tetap dikategorikan sebagai rasuah juga.

Saya ingin mengimbas kembali sejarah empayar Islam terdahulu. Semuanya runtuh akibat dari rasuah dan juga sikap terlampau mewah didalam kehidupan pemimpin-pemimpinnya. 

Rakyat yang merasakan mereka tertindas akan bangkit memberontak terhadap kerajaan dan sekaligus melemahkan sistem pentadbiran. Ini sebenarnya masalah utama bagi setiap negara Islam.

Sewajarnya kita semua mencontohi keperibadian baginda Rasulullah SAW yang amat bersederhana didalam aspek. Secara tak langsung, ia akan menimbulkan rasa hormat kepada pemimpin dan juga menjamin kemakmuran didalam negara.

Semua pihak harus berani berubah didalam melakukan revolusi didalam usaha membenteras rasuah secara bersungguh-sungguh. Ini kerana, rasuah.., politik wang.., tajaan atau apa sekalipun istilah yang digunakan, ianya adalah merupakan barah didalam sesebuah negara.

Rasuah tidak dapat dihapuskan oleh undang-undang semata-mata. Rakyat harus diajar dan dididik untuk membenci rasuah. Pemimpin pula harus mempunyai minda yang kuat didalam menangani kemelut ini.

Jangan biarkan negara kita hancur hanya kerana penyakit yang kita sendiri cipta.


No comments: